Apabila kita menjadi semakin tua, ketakutan terbesar kita mungkin adalah menghidapi dementia dan kehilangan memori jangka pendek. Namun Dr. Benjamin Mast, seorang pakar dalam penyakit Alzheimer memberikan kata-kata dorongan berikut. Dia mengatakan bahawa sekiranya pesakit sering “pakai” dan “biasa” dengan lagu-lagu pujian, mereka akan dapat menyanyi setiap perkataan dalam lagu itu apabila bernyanyi bersama. Dia mencadangkan disiplin rohani seperti membaca Alkitab, berdoa, dan menyanyikan puji-pujian akan menyebabkan kebenaran “tertanam” ke dalam minda kita, sedia untuk digunakan pada bila-bila masa ia diperlukan.
Dalam Mazmur 119:11, kita membaca bahawa kuasa yang menyimpan firman Tuhan dalam hati boleh membantu kita supaya tidak berdosa. Ia boleh menguatkan, mengajar ketaatan, dan mengarahkan langkah-langkah kita (ayat 28, 67, 133). Seterusnya ia memberi kita harapan dan pemahaman (ayat 49, 130). Walaupun kita mula menyedari diri kita atau orang yang kita kasihi mula kehilangan ingatan, firman Tuhan yang dihafal sebelum ini masih kekal “tersimpan” dalam hati (ayat 11). Walaupun minda kita tidak sebegitu cerdas seperti masa muda, kita tahu bahawa firman Tuhan yang tersimpan dalam hati kita akan terus bercakap kepada kita.
Tiada apa pun—termasuklah hilang ingatan—dapat memisahkan kita daripada kasih dan penjagaan-Nya. Kita boleh berpegang pada janji yang ditemui dalam firman-Nya.