Jalan Raya No. 5 di Madagascar (National Road 5) menonjolkan keindahan pantai pasir putih, hutan sawit dan Lautan Hindi di sepanjang perjalanan. Namun, jalan dua laluan ini yang sejauh 201 km ini diliputi batu gondol, pasir dan lumpur, maka ia juga terkenal sebagai salah satu jalan yang paling teruk di dunia. Para pelancong yang ingin menikmati pemandangan yang luar biasa ini dinasihatkan agar membawa bersama kenderaan pacuan empat roda, pemandu yang berpengalaman, serta seorang mekanik ke sana.
Yohanes Pembaptis mengumumkan berita baik tentang Mesias yang akan datang kepada orang yang perlu melalui perjalanan yang tidak rata dan lanskap yang gersang di padang gurun. Dengan mengulangi kata-kata nabi Yesaya yang ditulis berabad-abad yang lalu, dia menggesa orang ramai yang ingin tahu supaya “sediakanlah jalan untuk Tuhan” dan “luruskanlah jalan bagi-Nya” (Lukas 3:4-5; Yesaya 40:3).
Yohanes tahu bahawa jika penduduk Yerusalem ingin bersedia untuk menyambut Mesias yang sudah lama dinanti-nantikan, hati mereka perlu diubah. Kesombongan rohani perlu diruntuhkan. Mereka yang hidup di lembah keputusasaan kerana kehidupan yang hancur perlu dihiburkan.
Namun segala ini tidak dapat dilakukan dengan usaha manusia semata-mata. Orang yang enggan bertaubat, malahan tidak mahu menjawab panggilan Roh Tuhan untuk menerima baptisan Yohanes, tidak akan mengenali Mesias mereka apabila Dia datang (Lukas 7:29-30). Namun bagi orang yang melihat keperluan untuk berubah akan menemui Yesus, serta mengalami kebaikan dan keajaiban-Nya.