Seorang budak lelaki meniup buih ke arah saya dan suami saya, Carl, apabila dia berlari di pelantar laluan di sepanjang pantai Kota Atlantic, Amerika Syarikat. Saat itu telah meringankan dan menghiburkan hari yang penuh dengan kesukaran. Kami telah datang ke bandar itu untuk melawat abang ipar kami di hospital dan membantu kakak Carl yang mengalami kesukaran untuk menghadiri temu janjinya dengan doktor. Oleh sebab itu apabila kami berehat dan berjalan di tepi pantai, kami berasa terbeban dengan masalah dalam keluarga kami.

Kemudian buih ditiup ke arah kami oleh seorang budak lelaki semasa angin di pantai bertiup sepoi-sepoi bahasa—namun saat itu amat bermakna bagi saya. Saya suka dan menyimpan sebotol buih di pejabat saya kerana saya akan tersenyum apabila melihat buih pecah. Buih-buih itu dan keluasan lautan Atlantik mengingatkan saya pada siapa saya boleh berharap: Tuhan selalu dekat. Dia Maha Kuasa. Dia selalu menjaga. Dia dapat menggunakan peristiwa paling kecil pun, dan detik-detik singkat untuk membantu kita mengingati bahawa hadirat-Nya diibaratkan lautan rahmat di tengah-tengah kesukaran.

Mungkin satu hari nanti kesusahan kita akan kelihatan seperti buih—seketika sahaja apabila dibandingkan dengan kekekalan. “Apa yang kelihatan hanya tahan sementara, tetapi apa yang tidak kelihatan itu kekal selama-lamanya.” (2 Korintus 4:18).