Mata anak lelaki saya penuh keriangan apabila dia menunjukkan kertas yang dibawanya pulang dari sekolah. Kertas itu sebenarnya kertas ujian Matematik, ditandai dengan bintang merah dan markah 100 peratus. Semasa kami melihat kertas peperiksaan itu, dia berkata bahawa masih ada 3 soalan yang perlu dijawab apabila cikgunya berkata masa sudah tamat. Saya berasa hairan dan bertanya bagaimana dia mungkin mendapat markah penuh. Dia menjawab, “Cikgu saya memberikan saya rahmat dengan mengizinkan saya menyiapkan ujian walaupun saya sudah kehabisan masa.”
Apabila kami membincangkan maksud rahmat, saya menyatakan bahawa Tuhan telah memberikan kepada kita lebih daripada apa yang sepatutnya kita terima melalui Kristus. Kita sebenarnya harus mati kerana dosa-dosa kita (Roma 3:23). Namun “Kristus mati bagi kita semasa kita masih berdosa” (5:8). Kita tidak layak, namun Yesus—tidak berdosa dan suci—memberikan nyawa-Nya supaya kita dapat dilepaskan daripada hukuman akibat dosa kita dan hidup di syurga pada suatu hari nanti.
Kehidupan kekal merupakan anugerah daripada Tuhan. Ia bukan sesuatu yang kita usahakan dengan kekuatan diri kita. Kita diselamatkan kerana rahmat Tuhan dan iman kita dalam Kristus (Efesus 2:8-9).