Apabila kawan-kawan Charlotte mengatakan sesuatu yang tidak waras atau tidak masuk akal di laman sosial, dia menyampuk dengan lembut walaupun dia tidak menyetujui mereka. Dia menghormati martabat semua orang, dan kata-katanya selalu bersifat positif.

Beberapa tahun yang lepas, dia berkawan di Facebook dengan seorang lelaki yang sangat marah terhadap orang Kristian. Dia menghargai kejujuran dan kelembutan Charlotte yang jarang ditemui. Apabila masa berlalu, kemarahannya mula melenyap. Kemudian Charlotte terjatuh dan mengalami kecederaan teruk. Oleh sebab dia tidak dapat meninggalkan rumah, dia mula risau tentang apa yang boleh dilakukannya. Pada masa itu juga, kawannya di Facebook meninggal dunia dan mesej ini dihantar daripada kakak lelaki itu: “[Oleh sebab kesaksian anda] saya tahu bahawa dia sedang mengalami kasih Tuhan yang sempurna dan kekal baginya.”

Pada minggu apabila Yesus dibunuh, Maria dari Betania mengurapi-Nya dengan minyak wangi yang sangat mahal (Yohanes 12:3; Markus 14:3). Antara mereka ada yang berasa terkejut, tetapi Yesus memuji dia. “Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji. Wanita ini melakukan apa yang dapat dilakukannya. Dia menuangi Aku dengan minyak wangi untuk menyediakan tubuh-Ku bagi penguburan-Ku sebelum waktunya” (Markus 14:6-8).

“Wanita ini melakukan apa yang dapat dilakukannya.” Kata-kata Kristus melepaskan tekanan. Dunia kita dipenuhi dengan orang yang hancur dan terluka. Kita tidak perlu risau tentang perkara yang kita tidak dapat lakukan. Charlotte melakukan apa yang dapat dilakukannya. Demikian juga dengan kita. Selebihnya dalam tangan-Nya yang cukup mampu.