Semasa menghadiri sebuah konsert, fikiran saya dipenuhi dengan suatu isu sukar yang menuntut perhatian saya. Namun saya bersyukur kerana gangguan itu hanya untuk sementara. Sangat cepat lirik lagu merdu mula meresap ke sanubari saya. Kumpulan a capella (nyanyian berpadu suara secara berkumpulan tanpa diiringi alat muzik) lelaki sedang menyanyi “Tenanglah, Hai Jiwaku.” Air mata mula bertakung apabila saya mendengar lirik lagu itu dan merenungkan kedamaian yang hanya boleh diberikan oleh Tuhan:

Tenanglah hai jiwaku: Tuhan di sampingmu! Sabarlah menanggung salib duka atau sakit; biarkanlah kepada Tuhanmu untuk mengatur dan membekalkan; pada setiap perubahan Dia akan tetap setia.

Apabila Yesus menengking kota-kota yang tidak mahu bertaubat, tempat yang Dia telah melakukan banyak mukjizat (Matius 11:20-24), Dia masih mempunyai kata-kata penghiburan bagi mereka yang mahu datang kepada-Nya. Dia berkata, “Marilah kepada-Ku, hai kamu semua yang lelah kerana memikul beban yang berat … Ikutlah perintah-Ku dan terimalah ajaran-Ku, kerana Aku ini lemah lembut dan rendah hati; kamu akan mendapat kesejahteraan” (Matius 11:28-29).

Kenyataan ini mengejutkan! Selepas kata-kata yang keras dikeluarkan terhadap mereka yang menolak Dia, Yesus menghulurkan jemputan kepada semua orang untuk datang kepada-Nya agar mereka menerima kedamaian yang dirindukan mereka. Yesus sahajalah yang dapat menenangkan jiwa kita yang tidak tenteram dan letih.