Pada hari terakhir Perang Saudara Amerika, angkatan tentera Kesatuan yang diketuai oleh Joshua Chamberlain telah berbaris di kedua-dua belah jalan, ketika angkatan tentera Negeri-Negeri Gabungan Amerika yang menyerah kalah harus berarak di situ. Jika ada satu perkataan atau tindakan yang salah, maka kedamaian yang lama dinantikan akan bertukar menjadi medan pembunuhan. Dengan bijaknya, Chamberlain mengarahkan pasukannya memberi tabik hormat kepada musuh mereka! Tiada kata-kata olokan atau keganasan—melainkan senjata api dan pedang sahaja yang diangkat sebagai tanda hormat.

Ketika Yesus berkata tentang pengampunan dalam Lukas 6, Dia sedang menolong kita memahami perbezaan di antara orang yang berbelas kasihan dan yang tidak berbelas kasihan. Sesungguhnya, orang yang tahu akan pengampunan-Nya adalah berbeza dengan orang lain. Kita mesti melakukan apa yang dianggap mustahil oleh orang lain: Mengampuni dan mengasihi musuh kita. Yesus berkata, “Hendaklah kamu berbelas kasihan seperti Bapa kamu berbelas kasihan juga” (Lukas 6:36).

Bayangkan kesan terhadap tempat kerja dan keluarga kita, jika kita mengamalkan prinsip ini. Jika tindakan memberi hormat dapat meraih pengampunan para askar itu, maka kuasa yang ada dalam belas kasihan Kristus yang dicerminkan melalui kita jauh lebih hebat! Firman Tuhan membuktikan kuasa pengampunan ini dalam kisah Esau ketika dia memeluk dan mencium adiknya yang pernah menipunya (Kejadian 33:4), Zakheus yang bersukacita kerana dosanya telah ditebus (Lukas 19:1-10), dan perumpamaan tentang seorang bapa yang berlari menyambut kepulangan anaknya yang sesat (Lukas 15).

Dengan belas kasihan daripada Kristus, semoga hari ini adalah hari terakhir untuk segala keperitan dan perbalahan dengan musuh kita.