Penerokaan ke kawasan padang gurun, rasanya amat menakutkan. Namun bagi penggemar aktiviti luar, ini adalah sesuatu yang menarik. Oleh sebab para pendaki memerlukan air lebih daripada yang mampu dibawa, maka mereka membeli bekas air yang berpenapis agar mereka dapat minum air yang boleh didapati sepanjang perjalanan. Namun proses minum air daripada bekas sedemikian adalah bertentangan dengan kebiasaan. Air tidak dapat ditapis jika botol diterbalikkan. Pendaki yang haus harus meniup ke dalam bekas tersebut untuk memaksa air keluar melalui penapis tersebut. Ini menunjukkan bahawa realiti adalah bertentangan dengan apa yang kelihatannya semula jadi.
Tatkala kita mengikuti Yesus, kita akan mendapati banyak hal yang bersifat lawan kelaziman. Paulus menunjukkan satu contoh: Mematuhi peraturan-peraturan tidak akan mendekatkan diri kita kepada Tuhan. Dia bertanya, “Mengapakah kamu hidup seperti orang yang masih dikuasai dunia ini? Mengapakah kamu menurut peraturan seperti berikut, ‘Jangan jamah ini,’ ‘Jangan kecap itu,’ ‘Jangan sentuh itu’? … Semua itu hanya peraturan dan ajaran manusia” (Kolose 2:20–22).
Jadi apakah yang patut kita lakukan? Paulus memberikan jawapannya: “Kamu sudah dihidupkan semula bersama-sama Kristus. Oleh itu kamu harus mengingini perkara-perkara yang di syurga, di tempat Kristus duduk di atas takhta di sebelah kanan Allah” (Kolose 3:1). “Kamu sudah mati,” dia berkata kepada orang yang masih hidup, “dan hidup kamu tersembunyi dengan Kristus di dalam Allah” (ayat 3).
Kita harus menganggap diri kita “sudah mati” bagi dunia ini dan hidup untuk Kristus. Sekarang kita patut menghasratkan jalan hidup yang ditunjukkan oleh Dia yang berkata, “Jika seorang antara kamu hendak menjadi orang besar, dia harus melayani orang lain” (Matius 20:26).
