Saya amat suka akan burung, sebab itulah saya telah membeli enam ekor burung yang dipelihara di dalam sangkar dan membawanya pulang untuk anak perempuan kami Alice, yang mula menjaga burung-burung itu setiap hari. Kemudian salah seekornya telah jatuh sakit dan mati. Kami tertanya-tanya jika burung-burung tersebut akan terus hidup sekiranya tidak dikurung. Jadi, kami pun melepaskan lima ekor yang masih hidup itu dan memerhatikan mereka terbang dengan bebas.

Kemudian Alice bertanya, “Adakah ayah sedar bahawa seekor burung yang telah mati itu yang menyebabkan kita membebaskan burung-burung lain?”

Bukankah itu yang telah dilakukan oleh Yesus untuk kita? Disebabkan dosa “masuk ke dalam dunia melalui satu orang (Adam), akibatnya kematian telah dibawa kepada dunia. Namun, melalui rahmat seorang Peribadi yang benar (Yesus Kristus), penyelamatan telah diberikan kepada semua orang yang percaya (Roma 5:12-19). Yesus berkata, “Akulah gembala yang baik. Gembala yang baik mengorbankan nyawa untuk kawanan dombanya” (Yohanes 10:11).

Yohanes memberi penyataan yang mudah difahami dengan mengatakan, “Kristus sudah menyerahkan hidup-Nya untuk kita. Oleh itu kita harus menyerahkan hidup kita untuk saudara-saudara kita!” (1 Yohanes 3:16). Ini tidak bermaksud kita harus mati secara harfiah, tetapi apabila kita menyelaraskan hidup kita dengan teladan daripada pengorbanan Yesus yang penuh kasih, maka kita akan mendapati bahawa kita sedang “menyerahkan hidup kita.” Sebagai contoh, kita akan memilih untuk membantu saudara seiman yang mengalami kekurangan dengan mengongsi harta yang kita miliki (ayat 17), ataupun meluangkan masa dengan seseorang yang memerlukan penghiburan dan teman.

Untuk siapakah anda perlu berkorban pada hari ini?