Beberapa tahun yang lalu, ketika California Selatan mengalami kemelesetan ekonomi, Pastor Bob Johnson bukan sahaja melihat kesusahan, tetapi juga peluang dalam situasi tersebut. Jadi dia mengadakan satu mesyuarat bersama mayor di bandar tempat tinggalnya dan bertanya, “Apakah yang gereja kami dapat membantu?” Mayor tersebut berasa hairan. Biasanya orang akan datang kepada dia untuk meminta bantuan. Namun sekarang terdapat pula seluruh jemaah ingin menawarkan perkhidmatan mereka.
Maka mayor dan pastor tersebut bekerjasama untuk menumpukan sumber bagi beberapa keperluan yang mendesak. Di wilayah mereka sendiri, terdapat lebih daripada 20,000 orang tua tinggal bersendirian tanpa ada sesiapa yang datang menziarahi mereka; beratus-ratus kanak-kanak tidak mempunyai ibu bapa dan memerlukan keluarga. Ramai kanak-kanak lain pula memerlukan guru tuisyen untuk membantu mereka berjaya dalam pelajaran.
Beberapa keperluan tersebut boleh diberikan tanpa pelaburan wang yang banyak, namun segala ini memerlukan masa dan pemerhatian orang. Hal sedemikianlah yang harus dihulurkan oleh gereja.
Yesus memberitahu para pengikut-Nya, pada suatu hari kelak, Dia akan berkata kepada pengikut-Nya yang setia, “Marilah dan nikmatilah Pemerintahan Allah yang telah disediakan oleh Allah untuk kamu sejak dunia ini diciptakan-Nya” (Matius 25:34). Dia juga mengatakan bahawa mereka akan berasa hairan dengan pahala yang bakal diterima. Kemudian Dia akan berkata, “Ketahuilah, manakala kamu melakukan perkara itu untuk salah seorang daripada saudara-Ku, walaupun dia hina, kamu telah melakukannya untuk-Ku!” (Matius 25:40).
Tugas di kerajaan Tuhan akan selesai apabila kita memberikan waktu, kasih dan sumber yang telah dibekalkan-Nya dengan murah hati.