Beberapa tahun yang lalu, saya menulis sebuah esei tentang beberapa koleksi tongkat saya serta terfikir bahawa mungkin suatu hari nanti saya akan menggunakan bantuan tongkat untuk berjalan. Akhirnya tiba juga masa itu. Kerana kesakitan pada saraf dan tulang belakang, saya terpaksa menggunakan tongkat tiga roda untuk berjalan. Saya tidak dapat lagi pergi mendaki, memancing dan melakukan banyak perkara yang dahulunya pernah membawa kegembiraan besar kepada saya.
Bagaimanapun, saya cuba untuk belajar, bahawa apa sekalipun keterbatasan saya, ia merupakan pemberian daripada Tuhan, dan dengan pemberian inilah saya akan melayani Dia. Dengan pemberian inilah yang saya akan melayani Tuhan, dan bukanlah pemberian yang lain. Ini adalah hakikat bagi kita semua, sama ada keterbatasan kita itu adalah terbentuk dari segi emosi, fizikal mahupun intelektual. Malah Paulus dengan berani berkata bahawa dia suka membanggakan kelemahannya, kerana melalui kelemahan itulah kuasa Tuhan nyata sekali di dalam dirinya (Korintus 12:9).
Jika kita melihat keadaan kita yang kononnya merupakan suatu kelemahan dengan sikap yang tersebut, ia membolehkan kita mengharungi kehidupan dengan yakin dan berani. Daripada bersikap mengeluh, mengasihani diri atau memilih untuk tidak terlibat, lebih baik jika kita melibatkan diri untuk melaksanakan matlamat Tuhan yang telah ditentukan bagi kita.
Saya tidak tahu rancangan Tuhan untuk anda dan saya, tetapi kita tidak perlu berasa khuatir tentang hal itu. Tugas kita hari ini adalah menerima keadaan kita seadanya dan berpuas hati dengannya, serta menyedari bahawa dalam kasih, hikmat dan penyediaan Tuhan, setiap saat adalah yang terbaik.