Dalam bukunya yang bertajuk Spiritual Leadership (Kepimpinan Rohani), J. Oswald Sanders memeriksa dengan teliti tentang kualiti serta kepentingan kebijaksanaan dan diplomasi. “Dengan menggabungkan kedua-dua perkataan ini,” Sanders berkata, “idea timbul daripada kemahiran dalam mendamaikan pandangan yang bertentangan, tanpa menyinggung perasaan dan tanpa menjejaskan prinsip.”
Semasa Paulus dipenjarakan di Roma, dia telah menjadi pembimbing rohani serta sahabat rapat dengan hamba Filemon, iaitu Onesimus yang telah melarikan diri. Apabila Paulus menulis surat kepada Filemon, seorang pemimpin gereja di Kolose untuk meminta dia menerima Onesimus sebagai saudara dalam Kristus, Paulus menunjukkan contoh terbaik tentang kebijaksanaan dan diplomasi. “Itulah sebabnya sebagai saudara yang seiman, aku sebenarnya dapat memerintah kamu melakukan apa yang harus dilakukan. Tetapi kerana aku mengasihi kamu, aku hanya mengajukan permintaan … [Onesimus] sangat bererti bagiku, dan dia lebih bererti lagi bagimu, baik sebagai abdi mahupun sebagai sesama saudara yang percaya kepada Tuhan!” (Filemon 1:8–9, 16).
Paulus, seorang pemimpin yang dihormati semasa zaman gereja awal, sering memberi arahan-arahan jelas kepada para pengikut Yesus. Dalam hal yang disebutkan tadi, Paulus meminta Filemon atas dasar kesamaan, persahabatan dan kasih. “Tetapi aku tidak mahu memaksa kamu menolong aku. Aku lebih suka jika kamu melakukannya dengan rela hati. Oleh itu aku tidak mahu melakukan apa-apa kecuali kamu bersetuju” (ayat 14).
Dalam setiap perhubungan, semoga kita sentiasa memelihara keharmonian serta mempertahankan prinsip berdasarkan kasih Tuhan.