Bolehkah saya bantu untuk mencuci pakaian anda?” Saya bertanya kepada tetamu rumah saya di London. Dia terus senyum berseri-seri. Ketika anak perempuannya berjalan ke arahnya, dia berkata, “Ambillah pakaian kotor kamu—Amy mahu membantu untuk mencuci pakaian kita!” Saya tersenyum namun barulah saya menyedari bahawa tawaran untuk membantu mencuci beberapa helai pakaian telah menjadi beberapa bakul pakaian.
Tidak lama kemudian, ketika saya sedang menjemur pakaian di luar, satu ayat daripada pembacaan Alkitab pada pagi tadi bermain dalam fikiran saya: “Sebaliknya dengan rendah hati, anggaplah orang lain lebih baik daripada diri sendiri” (Filipi 2:3). Saya telah membaca surat Paulus kepada jemaah di Filipi. Dia menggesa mereka untuk hidup sesuai dengan panggilan Kristus melalui pelayanan dan persekutuan dengan orang lain. Mereka sedang mengalami penindasan, tetapi Paulus mahu mereka tetap bersatu. Dia tahu bahawa kesatuan mereka iaitu hasil daripada persekutuan dengan Kristus dan ditunjukkan melalui pelayanan sesama mereka, akan membolehkan mereka terus bertahan kuat dalam iman.
Mungkin kita berkata bahawa kita mengasihi orang lain tanpa mementingkan diri sendiri atau tanpa keangkuhan, tetapi sifat sebenar hati kita tidak akan dinyatakan selagi perbuatan kita tidak disertakan kasih. Walaupun ada kalanya saya berasa tergoda untuk merungut, namun saya tahu bahawa sebagai seorang pengikut Kristus, panggilan saya adalah untuk menunjukkan kasih kepada para sahabat saya melalui setiap tindakan saya—dengan tulus hati.
Semoga kita dapat menemukan cara-cara untuk melayani keluarga, sahabat handai dan jiran kita bagi kemuliaan Tuhan.