Ada seorang pemuda Jepun yang bermasalah—dia berasa takut untuk keluar dari rumahnya. Untuk mengelakkan diri daripada orang lain, dia tidur sepanjang hari dan menonton TV sepanjang malam. Dia merupakan seorang hikikomori atau pertapa zaman moden. Masalah ini bermula sejak dia berhenti sekolah disebabkan oleh keputusan pelajarannya yang kurang memuaskan. Semakin dia menjauhkan diri daripada masyarakat, semakin pula dia berasa bahawa dia tidak sesuai untuk berada dalam masyarakat. Akhirnya dia memutuskan segala bentuk perhubungan dengan kawan-kawan serta keluarganya. Walau bagaimanapun, dia telah mendapat pertolongan semasa dalam proses pemulihannya, dengan melawat sebuah kelab untuk orang muda yang dikenali sebagai ibasho—sebuah tempat selamat bagi orang yang mengalami masalah sedemikian dapat kembali kepada masyarakat.
Adakah mungkin kita boleh menganggap gereja sebagai sebuah ibasho—dan lebih daripada itu? Sememangnya kita adalah masyarakat yang mengalami kerosakan. Ketika rasul Paulus menulis kepada jemaah gereja di Korintus, dia menggambarkan cara hidup lama mereka sebagai antisosial, penyebab kerosakan dan berbahaya kepada diri sendiri serta orang lain (1 Korintus 6:9–10). Namun dalam Yesus, mereka telah diubah dan dipulihkan. Paulus juga mendorong orang yang diselamatkan ini agar saling mengasihi, sabar dan baik hati, tidak iri hati, tidak sombong atau bersikap kasar (13:4–7).
Gereja sering kali menjadi sebuah ibasho yang kita dapat mengenal serta mengalami kasih Tuhan, tidak kira apa pun dugaan atau kekecewaan yang kita hadapi. Semoga dunia yang sedang merana ini akan dapat mengalami belas kasihan Kristus melalui semua pengikut-Nya.