Jauh di puncak gunung Jughandle Peak, iaitu sebuah pergunungan yang terletak di arah utara dari rumah kami di Idaho, Amerika Syarikat, terdapat sebuah tasik glasier. Jalan untuk menuju ke tasik tersebut adalah dengan mendaki sebuah rabung gunung yang curam dan terdedah, serta melewati batu-batu besar yang tidak stabil. Ini merupakan pendakian yang amat sukar dan memenatkan.
Bagaimanapun, pada permulaan pendakian, terdapat sebatang anak sungai. Air mengalir dari tanah lembut dan berlumut serta melalui sebuah padang rumput yang amat subur. Ia merupakan sumber minum air yang sunyi bagi pendaki bersedia untuk menghadapi pendakian yang sukar.
Dalam buku John Bunyan bertajuk The Pilgrim’s Progress, kehidupan orang Kristian dijelaskan secara metafora. Watak yang bernama Kristian tiba di kaki sebuah bukit curam yang dipanggil Bukit Kesukaran, “di lembah bukit itu terdapat sebuah sungai kecil … Kristian pergi ke sungai tersebut lalu minum air untuk menyegarkan diri, kemudian barulah dia mula mendaki bukit.”
Mungkin Bukit Kesukaran yang anda alami sekarang merujuk kepada seorang anak yang suka melawan ataupun penyakit yang serius. Cabaran itu seolah-olah melebihi batas kemampuan anda.
Sebelum anda menghadapi cabaran besar yang seterusnya, lawatlah sungai kesegaran terlebih dahulu, iaitu Tuhan. Datanglah kepada-Nya dengan segala kelemahan, kelelahan, keputusasaan, ketakutan dan keraguan anda. Kemudian minumlah daripada kuasa, kekuatan dan kebijaksanaan-Nya. Tuhan mengetahui segala keadaan anda dan akan memberi anda ketenangan, kekuatan serta penghiburan dari segi rohani. Dia akan membangkitkan anda dan memberi anda tenaga untuk meneruskan perjalanan.