Ketika saya sedang duduk di dalam dewan, saya menghadap ke arah pastor itu dengan mata yang tertuju kepadanya. Saya kelihatan seolah-olah sedang mendengar setiap kata-katanya dengan teliti. Tiba-tiba saya mendengar semua orang ketawa sambil bertepuk tangan. Saya berasa terkejut dan melihat di sekeliling. Rupa-rupanya pengkhutbah itu telah mengatakan sesuatu yang lucu tetapi saya langsung tidak tahu apa yang telah dikatakannya. Secara luaran saya kelihatan sedang mendengar dengan penuh perhatian, tetapi pada hakikatnya fikiran saya melayang jauh.

Kita mungkin mendengar apa yang sedang diperkatakan tetapi sebenarnya tidak mendengar; melihat sesuatu tetapi sebenarnya tidak melihat, hadir ke sesebuah tempat tetapi sebenarnya tidak hadir. Dalam keadaan sebegini, kita mungkin akan terlepas pandang mesej-mesej penting yang dikhaskan untuk kita.

Ketika Ezra membaca perintah Tuhan kepada penduduk Yehuda, “ … mereka semua mendengar dengan penuh perhatian” (Nehemia 8:3). Perhatian kepada penjelasan perintah Tuhan telah membolehkan mereka untuk memahaminya (ayat 8), yang menyebabkan mereka bertaubat dan mengalami kebangunan rohani. Dalam situasi lain di Samaria, selepas penganiayaan terhadap orang percaya tercetus di kota Yerusalem (Kisah Rasul-Rasul 8:1), Filipus mula memberi pertolongan kepada penduduk Samaria. Orang ramai bukan sahaja melihat mukjizat yang dilakukannya, tetapi mereka juga “memperhatikan baik-baik apa yang dikatakan oleh Filipus” (ayat 6). “Oleh itu, orang di Samaria sangat bersukacita” (ayat 8).

Fikiran kita boleh sahaja menjadi seperti pengembara yang asyik merantau sehingga terlepas pandang untuk menikmati keseronokan yang ada di sekelilingnya. Akan tetapi, hal yang paling utama untuk kita perhatikan dengan teliti adalah kata-kata yang dapat menolong kita menikmati sukacita serta keagungan Bapa syurgawi kita.