Saya tinggal di sebuah bandar kecil di Mexico. Pada setiap pagi dan petang laungan: “Roti!” akan kedengaran. Seorang lelaki dengan bakul besar pada basikalnya menjual pelbagai jenis roti manis dan masin. Semasa saya tinggal di bandar besar, saya perlu pergi ke kedai untuk membeli roti. Sekarang saya berasa seronok kerana dapat menikmati roti segar yang dihantar terus ke pintu rumah saya.

Apabila saya berfikir tentang kelaparan rohani dan bukannya kelaparan secara fizikal, saya terfikir akan kata-kata Yesus ini: “Akulah roti yang memberikan hidup, roti yang turun dari syurga. Orang yang makan roti ini akan hidup selama-lamanya. Roti yang akan Aku berikan itu tubuh-Ku. Aku memberikannya supaya orang di dunia ini boleh hidup” (Yohanes 6:51).

Ada orang berkata bahawa penginjilan ibarat seorang pengemis pergi memberitahu pengemis lain tentang tempat yang dia dapat menemukan roti. Ramai antara kita dapat berkata, “Dahulu saya pernah lapar secara rohani, benar-benar berasa kelaparan disebabkan oleh dosa-dosa saya. Kemudian saya mendengar berita baik. Seseorang telah memberitahu saya tempat yang boleh mendapatkan roti yang memberikan hidup: dengan percaya kepada Yesus. Kehidupan saya terus berubah!”

Sekarang kita mempunyai keistimewaan serta tanggungjawab untuk memberitahu orang lain tentang roti yang memberikan hidup ini. Kita boleh berkongsi tentang Yesus di kawasan kejiranan kita, di tempat kerja, di sekolah dan di tempat-tempat rekreasi. Kita boleh bercakap mengenai Yesus semasa berada di bilik menunggu, di dalam bas atau di dalam kereta api. Kita juga boleh menyampaikan Injil kepada orang lain melalui ikatan persahabatan.

Yesus adalah roti yang memberikan hidup. Marilah kita mengkhabarkan berita baik ini kepada semua orang.