Raleigh kelihatan seperti seekor anjing yang garang, berbadan besar serta berotot. Anjing ini juga memiliki lapisan bulu yang tebal dan berat badan yang lebih daripada 45 kg! Walaupun dengan rupa luaran sedemikian, Raleigh cepat mesra dengan orang lain. Tuannya selalu membawanya pergi ke rumah orang tua dan hospital, agar Raleigh dapat menghiburkan orang di situ.

Seorang anak perempuan berumur 4 tahun pernah ternampak Raleigh dari jauh di sebuah bilik. Anak tersebut ingin membelai Raleigh tetapi takut untuk mendekatinya. Lama-kelamaan, sifat ingin tahu anak perempuan itu telah mengatasi sikap berhati-hatinya, dia pun meluangkan beberapa minit untuk membelai serta bercakap-cakap dengan Raleigh. Dia mendapati bahawa Raleigh adalah seekor anjing yang mesra walaupun ia kelihatan garang.

Gabungan sifat-sifat ini mengingatkan saya tentang Yesus yang dapat kita baca dalam Perjanjian Baru. Yesus adalah seorang yang mudah didekati—Dia menyambut anak-anak kecil dengan baik (Matius 19:13–15). Dia bersikap baik terhadap seorang wanita penzina yang berada dalam situasi sukar (Yohanes 8:1–11). Sifat belas kasihan mendorong Dia mengajar orang ramai (Markus 6:34). Pada masa yang sama, kuasa Yesus amat menghairankan. Orang ramai berasa sangat kagum ketika Dia mengusir Iblis, menenangkan angin ribut dan membangkitkan orang mati! (Markus 1:21–34; 4:35–41; Yohanes 11).

Cara kita melihat Yesus menentukan bagaimana kita berhubung dengan Dia. Jika kita hanya fokus kepada kuasa-Nya, kita mungkin akan memuja-Nya dari jauh seperti seorang wira dalam buku komik. Namun demikian, sekiranya kita terlalu menekankan kebaikan-Nya, kita mungkin akan melayan Yesus dengan sikap yang terlalu bersahaja. Sebenarnya, Yesus memiliki kedua-dua sifat tersebut. Dia layak mendapat ketaatan kita kerana kebesaran-Nya tetapi Dia juga cukup rendah hati sehingga kita dapat dipanggil-Nya sebagai seorang sahabat.