Semasa Nicholas Taylor menaiki tren komuter di Perth, Australia, kakinya telah tersepit di celah-celah platform dan tren tersebut. Apabila pegawai keselamatan tidak berjaya menariknya keluar, mereka bekerjasama dengan lebih kurang 50 penumpang yang sudah sedia berbaris, dan pada kiraan tiga, mereka bersama-sama menolak komuter tersebut. Melalui kerjasama itu, mereka dapat menolak komuter tersebut dari platform sehingga kaki Nicholas berjaya dikeluarkan.
Kebanyakan surat Rasul Paulus kepada gereja-gereja awal menyentuh tentang kekuatan orang Kristian yang saling bekerjasama. Dia menggesa orang percaya di Roma agar menerima satu sama lain sebagaimana Kristus telah menerima mereka. Demikian juga Paulus berkata, “Semoga Allah yang menyebabkan kamu bersabar dan berteguh hati, membolehkan kamu hidup seia sekata menurut teladan Kristus Yesus. Dengan demikian kamu semua sama-sama dapat memuji Allah, Bapa Tuhan kita Yesus Kristus” (Roma 15:5–6).
Kesatuan dengan orang percaya yang lain membolehkan kita menyebarkan kebesaran Tuhan dan menolong kita untuk bertahan dalam penganiayaan. Oleh sebab Paulus tahu bahawa orang di Filipi akan ditindas disebabkan oleh kepercayaan mereka, maka dia mendorong mereka berusaha untuk “berdiri teguh dan berjuang dengan satu tujuan dan keinginan, untuk iman yang berdasarkan Berita Baik itu. Janganlah takut akan orang yang menganiaya kamu” (Filipi 1:27–28).
Iblis cenderung memecah-belahkan dan menawan kita dengan kekerasan, tetapi usahanya akan gagal apabila kita bersama-sama “berusahalah sebaik-baiknya untuk hidup damai, supaya kesatuan yang diberikan oleh Roh Allah tetap terpelihara” (Efesus 4:3) dengan pertolongan Tuhan.