Sebuah papan tanda besar di stadium bola sepak Universiti Texas A&M mengatakan “TEMPAT KEDIAMAN BAGI ORANG KEDUA BELAS.” Setiap pasukan hanya dibenarkan mempunyai sebelas orang pemain di padang, dan orang kedua belas ini sebenarnya adalah ribuan pelajar universiti yang hadir dan terus berdiri sepanjang perlawanan itu untuk memberi sorakan serta sokongan kepada pasukan mereka. Tradisi ini bermula sejak tahun 1922 apabila jurulatih memanggil seorang pelajar dari tempat duduk penonton untuk memakai baju seragam pemain bola serta bersedia menggantikan mana-mana pemain yang cedera. Walaupun pelajar ini tidak pernah turut serta dalam perlawanan, namun kerelaannya untuk hadir sebagai pemerhati dan penyokong amatlah mendorong pasukan tersebut.
Ibrani 11 menjelaskan tokoh-tokoh iman yang pernah menghadapi pelbagai cabaran besar tetapi mereka tetap taat dan setia kepada Tuhan. Bab 12 bermula seperti ini, “Sedangkan bagi kita, di sekeliling kita ada banyak saksi. Oleh itu, marilah kita buang segala halangan yang menghalang kita dan dosa yang berpaut pada kita. Marilah kita tempuh perlumbaan di hadapan kita dengan tekun” (ayat 1).
Kita tidak bersendirian dalam perjalanan iman kita. Para rasul dan orang biasa dalam Alkitab yang sentiasa taat kepada Tuhan, mendorong kita melalui contoh kehidupan mereka dan melalui mereka yang sekarang di syurga. Mereka inilah Orang Kedua Belas yang menjadi penyokong sementara kita masih berada di padang perlawanan.
Apabila pandangan kita tertumpu kepada Yesus, “dari permulaan sehingga akhir” (Ibrani 12:2), kita sentiasa mendapat dorongan melalui orang yang menjadi pengikut-Nya.