Semasa Pemberontakan Boxer di negara China pada tahun 1900, para penginjil yang terperangkap di rumah di daerah T’ai Yüan Fu telah membuat keputusan bahawa satu-satunya harapan mereka untuk hidup adalah lari melepasi kumpulan orang ramai yang sedang menjerit agar para penginjil ini dibunuh. Dengan senjata yang ada, mereka berjaya melepaskan diri. Walau bagaimanapun, apabila Edith Coombs menyedari bahawa dua pelajarnya berbangsa Cina yang tercedera tidak berjaya melarikan diri, dia bergegas kembali ke tempat bahaya tersebut. Dia berjaya menyelamatkan salah seorang pelajarnya, tetapi terjatuh ketika kembali untuk menyelamatkan pelajar yang kedua dan terbunuh.

Sementara itu, para penginjil di daerah Hsin Chou telah berjaya melarikan diri dan bersembunyi di luar bandar. Mereka ditemani oleh sahabat mereka yang berbangsa Cina, bernama Ho Tsuen Kwei. Namun dia telah ditangkap ketika sedang meninjau jalan keluar untuk kawan-kawannya yang sedang bersembunyi dan dibunuh kerana enggan memberitahu lokasi tempat persembunyian mereka.

Dalam kehidupan Edith Coombs dan Tsuen Kwei, kita dapat melihat kasih yang melebihi batas kebudayaan atau sifat kenegaraan. Pengorbanan mereka memperingatkan kita tentang kasih dan anugerah yang lebih besar yang diberikan oleh Penyelamat kita.

Ketika Yesus menunggu saat penahanan dan kematian-Nya, Dia berdoa bersungguh-sungguh, “Ya Bapa, jika boleh jauhkanlah cawan penderitaan ini daripada-Ku.” Akan tetapi Dia mengakhiri permintaan doa tadi dengan memberikan teladan yang agung mengenai keberanian, kasih dan pengorbanan: “Tetapi janganlah turut kehendak-Ku, melainkan kehendak-Mu berlakulah” (Lukas 22:42). Kematian dan kebangkitan-Nya telah memberikan kita kehidupan sejati dan kekal.