Emily mendengar sekumpulan kawannya bercerita mengenai tradisi Hari Kesyukuran bersama keluarga. “Kami bergilir-gilir untuk bercakap tentang apa yang kami bersyukur kepada Tuhan,” kata Gary.
Seorang kawan yang lain menyebut tentang waktu berdoa dan makan dengan keluarganya. Dia mengimbas kembali masa bersama bapanya sebelum dia meninggal dunia: “Walaupun bapa saya menghidap penyakit dementia, namun doa kesyukurannya kepada Tuhan sentiasa jelas.” Randy turut berkongsi ceritanya, “Keluarga saya mempunyai masa khusus untuk bernyanyi bersama semasa cuti. Nenek saya akan bernyanyi tanpa henti!” Kesedihan dan perasaan cemburu Emily semakin bertambah apabila dia terfikir tentang keluarganya sendiri: Tradisi kami adalah makan ayam belanda, menonton televisyen, dan langsung tidak menyebut tentang Tuhan atau memberi kesyukuran.”
Sejurus selepas itu Emily berasa tidak selesa dengan sikapnya. Saya ialah salah seorang anggota keluarga saya. Apakah yang harus saya lakukan untuk mengubah tradisi ini? Dia bertanya kepada dirinya sendiri. Kemudian Emily mengambil keputusan untuk memberitahu setiap ahli keluarganya secara peribadi, bahawa dia sangat bersyukur kepada Tuhan kerana Dialah yang mengurniai mereka sebagai adik/kakak, anak buah, abang ataupun sepupu baginya. Apabila hari itu telah tiba, Emily menyatakan kesyukurannya kepada mereka satu demi satu, dan mereka semua berasa amat disayangi. Tindakan itu memang tidak mudah kerana ia bukan perbualan yang biasa dilakukan dalam keluarganya, namun Emily mengalami sukacita apabila dia berkongsi kasihnya kepada setiap mereka.
“Gunakanlah kata-kata yang membina dan memberikan pertolongan,” tulis rasul Paulus, “supaya apa yang kamu katakan mendatangkan kebaikan kepada mereka yang mendengarnya” (Efesus 4:29). Ucapan syukur kita dapat mengingatkan orang lain tentang nilai mereka bagi kita dan Tuhan.