Cuba bayangkan ada dua gadis remaja. Gadis yang pertama memiliki keadaan yang kuat dan sihat. Manakala gadis yang kedua pula tidak pernah mengalami kebebasan kerana pergerakan fizikalnya terpaksa bergantung pada kerusi roda. Gadis kedua ini bukan sahaja berhadapan dengan cabaran emosi yang biasa kita hadapi dalam kehidupan ini, tetapi dia juga berhadapan dengan kesakitan serta kesukaran secara fizikal.
Namun kedua-dua gadis tersebut tersenyum riang kerana mereka seronok meluangkan masa bersama-sama. Dua gadis remaja yang cantik ini masing-masing melihat serta menghargai keindahan persahabatan mereka.
Yesus meluangkan banyak waktu dan tumpuan untuk orang yang sama keadaan seperti gadis di atas kerusi roda tersebut. Antaranya ada orang yang kurang upaya atau mempunyai kecacatan fizikal serta mereka yang dipandang rendah oleh orang lain atas pelbagai sebab. Bahkan, Yesus membenarkan salah seorang daripada “golongan sedemikian” mengurapi Dia dengan minyak wangi, sehingga orang Farisi memandang hina perbuatan itu (Lukas 7:39). Dalam situasi lain, ketika seorang wanita menunjukkan kasihnya dengan cara yang sama, Yesus memberitahu para pengkritiknya, “Biarkanlah dia! Mengapa kamu menyusahkan dia? Apa yang telah dilakukannya untuk-Ku itu baik dan terpuji” (Markus 14:6).
Tuhan menghargai semua orang dengan sama rata; tidak ada yang berbeza di mata-Nya. Pada hakikatnya, kita semua sangat memerlukan kasih Kristus serta pengampunan-Nya. Kasih-Nya sangat besar sehingga Dia rela mati di atas kayu salib untuk kita.
Semoga kita memandang setiap orang seperti Yesus memandang diri kita: diciptakan menurut rupa Tuhan dan layak untuk menerima kasih-Nya. Marilah kita melayani setiap orang dengan sama rata sebagaimana yang dilakukan oleh Kristus, dan belajar untuk melihat apa yang baik dan terpuji dalam diri mereka.