Beberapa tahun yang lalu, saya terbaca sebuah buku tentang kisah budaya memancing yang ditulis oleh seorang penulis Yunani bernama Aelian pada kurun kedua sm, “Sungai Astracus yang mengalir di antara Boroca dan Tesalonika terdapatnya ikan yang bercorak bintik-bintik pada kulitnya [ikan trout].” Kemudian dia menjelaskan “umpan ikan yang amat berkesan. Umpan itu dipasang pada mata kail yang dililit dengan benang tebal berwarna merah serta dua helai bulu pelepah dilekatkan pada benda tersebut. Apabila umpan itu dibuang ke dalam air, ikan yang tertarik dengan warna merah akan mula timbul untuk mendapatkan makanan” (dipetik daripada buku On the Nature of Animals).

Para nelayan hari ini masih menggunakan umpan yang sama. Ia dipanggil Umpan Merah. Ia pertama kali digunakan lebih daripada 2,200 tahun dahulu, dan sehingga sekarang ia masih dianggap sebagai umpan yang amat berkesan untuk menangkap ikan trout.

Ketika membaca teks purba itu, saya berfikir: Bukan semua benda lama adalah lapuk—terutamanya manusia. Sekiranya kita menunjukkan kehebatan kasih Tuhan melalui kepuasan hati serta sikap periang pada usia tua kita, kita pasti akan berguna sehingga ke akhir hayat kita. Usia tua tidak seharusnya tertumpu kepada hal-hal yang berkaitan dengan tahap kesihatan yang merosot atau asyik mengimbas kembali masa silam. Sebaliknya, usia tua patut penuh dengan ketenangan dan keriangan, serta keberanian dan kebaikan. Semua itu merupakan hasil daripada sikap teguh seseorang yang berjalan dengan Tuhan sampai ke usia tuanya.

“Mereka umpama pokok yang ditanam di Rumah TUHAN, seperti pokok yang tumbuh dengan subur di Rumah Allah kita, dan tetap menghasilkan buah pada masa tua, dan sentiasa menghijau serta kuat. (Mazmur 92:14–15).