Ketika kecil, saya merupakan pembaca setia kepada siri buku penulisan L. Frank Baum yang bertajuk Land of Oz. Baru-baru ini saya terjumpa salah satu bukunya, Rinkitink in Oz yang disertakan lukisan-lukisan asli. Saya sekali lagi tertawa akan perangai Baum kerana dia merekakan watak buku, Raja Rinkitink yang bersifat periang dan baik hati. Satu watak lagi, Putera Inga yang muda menggambarkan raja ini dengan jelas sekali: “Sifatnya yang baik hati dan lembut adalah jauh lebih baik daripada mempunyai kebijaksanaan.”
Tepat sekali kenyataan ini! Namun, siapakah boleh sentiasa mengekalkan sifat yang baik hati? Siapakah yang tidak pernah melukakan hati orang yang kita sayangi dengan kata-kata kasar? Kelakuan seperti ini akan mengganggu kedamaian dan ketenangan, serta menyebabkan semua kebaikan yang telah kita hulurkan kepada orang yang kita sayangi itu menjadi sia-sia. “Sesuatu yang tidak bertimbang rasa adalah sesuatu yang menyakitkan,” kata Hannah More, seorang penulis berbangsa Inggeris pada abad ke-18.
Inilah berita baik untuk kita: Sesiapa sahaja boleh menjadi orang baik. Mungkin kita tidak berupaya untuk menyampaikan khutbah yang memberikan inspirasi, mengutarakan soalan-soalan yang susah, atau melakukan penginjilan secara besar-besaran, tetapi kita semua boleh menjadi orang yang baik hati.
Bagaimanakah kita melakukannya? Melalui doa. Ia satu-satunya cara untuk melembutkan hati kita. “Ya TUHAN, kawallah mulutku, dan jagalah bibirku. Jauhkan aku daripada keinginan berbuat jahat [atau kekasaran]” (Mazmur 141:3–4).
Di dunia yang kasih kebanyakan orang sudah menjadi dingin, kebaikan hati yang berasal daripada Tuhan adalah satu hal yang sangat membantu serta dapat menyembuhkan, yang kita boleh berikan kepada orang lain.