Studio Walt Disney merupakan studio pertama yang memperkenalkan konsep baharu dalam teknik pendengaran bunyi bagi filem. Ia dipanggil sebagai “bunyi stereofonik” ataupun bunyi seimbang. Ia dihasilkan kerana penerbit filem menginginkan penonton filem mendengar muzik dengan cara yang baharu.

Namun ini bukanlah penggunaan “bunyi stereo” yang pertama. Beribu-ribu tahun sebelumnya, Nehemia memperkenalkan idea itu di upacara pentahbisan pembinaan semula tembok Yerusalem. “Aku mengumpulkan para pemimpin Yehuda di atas tembok,” jelasnya. “ … dan menugaskan mereka memimpin dua kumpulan besar … menyanyikan lagu kesyukuran kepada Allah” (Nehemia 12:31). Kedua-dua kumpulan koir itu bermula dari bahagian selatan tembok tersebut, iaitu dari Pintu Gerbang Sampah. Satu kumpulan berjalan ke kiri, manakala yang satu lagi ke kanan, dan mereka mengelilingi kota Yerusalem sambil menyanyikan lagu kesyukuran serta menuju ke Rumah TUHAN (ayat 31, 37-40).

Kumpulan koir itu memimpin rakyat bersuka ria kerana “Allah menyebabkan mereka bersukacita” (ayat 43). Malah, keriuhan kegembiraan mereka “terdengar sampai jauh” (ayat 43).

Nyanyian kesyukuran adalah hasil daripada pertolongan Tuhan ketika rakyat mendapat kemenangan dalam menghadapi musuh seperti Sanbalat dan mendirikan tembok itu semula. Apakah yang telah diberikan Tuhan kepada kita sehingga kita bersukacita dan menyanyikan lagu kesyukuran? Haluan Tuhan yang jelas dalam kehidupan kita? Penghiburan yang hanya dapat diberikan oleh-Nya pada masa kesusahan? Atau pemberian yang terpenting, yakni penyelamatan?

Mungkin kita tidak boleh mencipta “bunyi stereofonik” dalam lagu kesyukuran kita, namun kita boleh bersuka ria dalam sukacita besar yang telah diberikan oleh Tuhan. Kemudian orang lain akan mendengar kita memuji Tuhan dan melihat bagaimana Dia bekerja dalam kehidupan kita.