Tema untuk kem orang dewasa gereja kami ialah “Hiburkanlah Umat-Ku.” Seorang demi seorang pengkhutbah berbicara tentang keyakinan dalam Tuhan. Namun pengkhutbah yang terakhir secara mendadak telah menukar nada khutbahnya. Dia memetik Yeremia 7:1-11, dan tajuknya berbunyi “Bangunlah daripada Tidur.” Dia mencabar kami secara terus-terang dalam kasih, supaya kami bangun dan bertaubat daripada dosa-dosa kami.

Dia menggesa seperti nabi Yeremia, “Jangan bersembunyi di belakang rahmat Tuhan dan terus hidup bergelumang dengan dosa secara diam-diam. Kita bercakap besar, ‘Saya orang Kristian; Tuhan mengasihi saya; Saya tidak takutkan kejahatan,’ namun kita yang melakukan banyak kejahatan.”

Kita tahu bahawa pengkhutbah tersebut memerhatikan kita, tetapi kita pula duduk dengan tidak tenang, seolah-seolah mendengar Yeremia mengisytiharkan, “Tuhan itu pengasih, tetapi Dia juga seperti api yang memusnahkan!” (baca Ibrani 12:29). Dia sekali-kali tidak membiarkan kita terus berdosa!”

Yeremia daripada Perjanjian Lama bertanya kepada bangsa Israel, “Kamu mencuri, membunuh, berzina, memberi kesaksian dusta … menyembah dewa-dewa yang tidak pernah kamu kenal. Selepas kamu lakukan semua itu, kamu datang menghadap Aku di Rumah-Ku sendiri, lalu berkata, ‘Kami aman!’ Kemudian kamu meneruskan perbuatan kamu yang keji itu” (Yeremia 7:9-10).

Pengkhutbah ini menyampaikan penghiburan Tuhan dari sudut pandangan yang lain. Seperti ubat yang pahit diperlukan untuk mengubati penyakit malaria, kata-katanya secara rohani memberikan kesembuhan. Apabila kita mendengar teguran dan tidak berjalan pergi, semoga kita akan mengalami kesan penyembuhannya.