Ketika Janet mengajar bahasa Inggeris di sebuah sekolah di luar negara, dia mendapati suasana di situ agak muram. Setiap orang melakukan kerja sendiri masing-masing, tetapi tiada seorang pun kelihatan gembira. Mereka tidak membantu atau mendorong sesama mereka. Namun Janet sangat bersyukur untuk segala perbuatan Tuhan terhadapnya. Oleh itu dia menyatakannya dalam segala perkara yang dilakukannya. Dia tersenyum. Dia ramah. Dia bersungguh-sungguh untuk menolong orang lain. Dia menyenandungkan nyanyian pujian dan lagu rohani.

Lama-kelamaan, sementara Janet berkongsi kegembiraannya, suasana di sekolah mula berubah. Seorang demi seorang mulai tersenyum dan membantu satu sama lain. Ketika seorang pentadbir sekolah datang melawat, dia bertanya kepada pengetua tentang sebab perubahan di sekolahnya. Pengetua yang bukan orang Kristian itu menjawab, “Yesus membawa kegembiraan.” Janet dipenuhi dengan sukacita daripada Tuhan sehingga kesukacitaan ini turut dirasai oleh semua orang yang berada di sekelilingnya.

Kitab Lukas memberitahu kita bahawa Tuhan mengutus malaikat kepada para gembala yang merupakan orang biasa untuk mengisytiharkan kelahiran seorang Peribadi yang luar biasa. Malaikat membuat pengisytiharan yang mengejutkan bahawa berita tentang kelahiran bayi “akan menggembirakan semua orang” (Lukas 2:10). Ini memang benar.

Semenjak itu, berita ini telah disebarkan berkurun-kurun lamanya kepada kita, dan sekarang kita adalah utusan-utusan Kristus untuk menyampaikan berita baik kepada dunia. Melalui Roh Kudus yang tinggal di dalam kita, kita terus menyebarkan khabar gembira tentang Yesus sambil kita mengikuti teladan-Nya serta melayani orang lain.