Rev. Martin Niemoller, seorang pastor berbangsa Jerman yang terkemuka, telah dikurung di penjara waktu pemerintahan Nazi selama lapan tahun kerana dia menentang Hitler secara terbuka. Pada hari sebelum Krismas tahun 1944, Niemoller mengucapkan kata-kata harapan ini kepada rakan-rakan sepenjaranya di Dachau, Jerman: “Sahabat-sahabat yang dikasihi, pada hari Krismas ini … marilah kita mencari Bayi di Betlehem, Dia telah datang kepada kita untuk menanggung segala beban kita … Tuhan sendiri telah membina jambatan untuk menghubungkan diri-Nya kepada kita! Cahaya yang sangat terang dari syurga telah datang mengunjungi kita!”
Pada hari Krismas kita menyambut berita baik bahawa Tuhan telah datang kepada kita melalui Kristus. Di mana sahaja kita berada, Dia telah menjambatani jurang di antara kita. Dia menyinari kesuraman hidup kita [yang bagaikan berada di penjara] dengan cahaya-Nya dan mengangkat beban kesedihan, rasa bersalah, atau kesunyian yang menekan kita.
Pada malam Krismas yang suram di penjara itu, Niemoller berkongsi berita baik ini: “Cahaya berita baik yang bersinar ke atas para gembala itu juga akan bersinar ke dalam hidup kita yang suram di sini.” Kata-katanya mengingatkan kita tentang Yesaya yang bernubuat, “Orang yang berjalan dalam kegelapan telah melihat cahaya yang sangat terang. Mereka tinggal dalam bayangan segelap maut, tetapi kini mereka disinari cahaya yang terang” (Yesaya 9:1).
Tidak kira apa pun keadaan kita hari ini, Yesus menembusi dunia gelap kita dengan kegembiraan dan cahaya-Nya!