Pada hari terakhir konferensi penerbitan Kristian di Singapura, 280 peserta dari 50 buah negara telah berkumpul di luar plaza sebuah hotel untuk sesi foto berkumpulan. Dari balkoni tingkat dua, jurugambar mengambil foto dari pelbagai sudut dan akhirnya dia berkata, “Sudah selesai.” Kedengaran laungan seseorang daripada kumpulan itu, “Joy to the world!” (“Hai dunia bersukacitalah!”). Tidak lama selepas itu, seorang yang lain menyahut dengan menyanyikan, “The Lord is come” (“Tuhan telah datang”). Semua yang lain mulai turut serta untuk menyanyi. Sejurus kemudian, seluruh kumpulan menyanyikan lagu karol yang biasanya dinyanyikan itu dengan paduan suara yang merdu. Hati saya terharu kerana ia memperlihatkan perpaduan dan sukacita yang saya tidak akan lupakan.
Lukas menulis kisah tentang Krismas sewaktu malaikat Tuhan mengisytiharkan kelahiran Yesus kepada sekumpulan gembala dengan berkata, “Janganlah takut! Aku datang membawa Berita Baik untuk kamu, berita yang akan menggembirakan semua orang. Pada hari ini di kota Daud telah lahir Penyelamat kamu, Kristus, Tuhan” (Lukas 2:10–11).
Kegembiraan itu bukan hanya untuk beberapa orang, tetapi untuk semua orang. “Allah sangat mengasihi orang di dunia ini sehingga Dia memberikan Anak-Nya yang tunggal” (Yohanes 3:16).
Ketika kita berkongsi berita tentang Yesus yang mengubah hidup kepada orang lain, kita turut serta dalam korus sedunia untuk mengisytiharkan “kemuliaan kebenaran-Nya dan keajaiban kasih-Nya.”
“Hai dunia bersukacitalah, Tuhan telah datang!