Pada bulan Jun 2015, pihak berkuasa bandar raya Paris telah menanggalkan kira-kira 41,000 kilogram mangga kunci dari selusur jambatan Pont des Arts. Sebagai tanda romantis, pasangan akan menandatangani mangga mereka, memangganya pada selusur jambatan, menguncinya, kemudian mencampakkan kunci itu ke dalam Sungai Seine.

Setelah upacara ini diulang ribuan kali, jambatan itu tidak lagi dapat menampung berat “cinta” yang terlalu banyak. Akhirnya pihak berkuasa memutuskan untuk menanggalkan semua “mangga cinta’ itu kerana bimbang akan struktur jambatan tersebut.

Mangga-mangga kunci itu melambangkan cinta yang sejati dan kekal, tetapi cinta manusia biasanya tidak kekal. Kawan karib akan menyinggung perasaan satu dengan yang lain, dan perbezaan pendapat antara mereka pun tiada penyelesaian. Ahli-ahli keluarga akan bergaduh dan enggan memaafkan. Pasangan suami isteri akan mempunyai jurang yang jauh sehingga mereka tidak dapat mengingat sebab mereka mengambil keputusan untuk berkahwin pada mula-mula. Cinta manusia berubah-ubah.

Namun ada satu jenis kasih yang tetap dan kekal, yakni kasih Tuhan. “Bersyukurlah kepada TUHAN, kerana Dia baik; kasih-Nya kekal abadi” seperti yang tertulis dalam Mazmur 106:1. Janji-janji akan sifat kasih Tuhan yang berterusan dan abadi boleh didapati dalam firman Tuhan. Bukti terbesar akan kasih ini ialah kematian Anak-Nya sehingga orang yang percaya kepada-Nya boleh hidup selama-lamanya. Tiada apa-apa yang akan memisahkan kita daripada kasih-Nya (Roma 8:38-39).

Rakan-rakan seiman, kita telah dikunci bersama dalam kasih Tuhan yang kekal.