Ketika saya mula berkenalan dengan seorang kawan baru dari luar negara, saya mendapati bahawa dia mempunyai loghat Inggeris daripada golongan atasan. Dia juga memakai sebentuk cincin pada jari kelengkengnya. Saya mendapat tahu kemudian bahawa ia bukan sekadar barang perhiasan; cincin itu mendedahkan sejarah keluarganya melalui lencana keluarga yang terukir pada cincin tersebut.
Ini kelihatannya seperti sebentuk cincin meterai—mungkin seperti yang tertulis dalam kitab Hagai. Dalam kitab pendek Perjanjian Lama ini, nabi Hagai menyeru umat Tuhan memulakan semula pembinaan Rumah TUHAN. Mereka telah dibuang negeri dan kini telah kembali ke tanah air mereka serta memulakan kerja-kerja pembinaan semula, tetapi penentangan pihak musuh terhadap projek ini telah melengahkan mereka. Pesan Hagai termasuklah janji Tuhan kepada Zerubabel, iaitu pemimpin Yehuda, bahawa dia telah dipilih dan dikhususkan sebagai pemimpin mereka seperti sebentuk cincin meterai.
Pada zaman purba, cincin meterai digunakan sebagai pengenalpastian identiti seseorang. Orang akan menekankan cincin meterai mereka ke atas lilin panas atau tanah liat lembut untuk membuat tanda mereka, bukan dengan tandatangan mereka. Selaku anak Tuhan, kita juga meninggalkan tanda di dunia ini apabila kita menyebarkan berita baik, berkongsi belas kasihan Tuhan dengan mengasihi sesama kita, serta menamatkan penindasan.
Kita masing-masing memiliki penanda sendiri yang unik, dan ini mendedahkan bahawa kita telah diciptakan menurut rupa Tuhan dan kita mempunyai bakat, keghairahan serta kebijaksanaan yang tersendiri. Ini merupakan panggilan dan penghormatan kita untuk bertindak sebagai cincin meterai di dunia Tuhan.
yang berkongsi kasih-Nya di dunia ini.