Beberapa tahun yang lalu, saya dan isteri saya tinggal di sebuah penginapan desa yang terletak di kawasan terpencil di Yorkshire Dales, England. Kami berada di sana bersama beberapa pasangan suami isteri lain, yang semuanya orang British dan kami belum pernah berjumpa sebelumnya. Semasa duduk di ruang tamu dengan kopi yang dihidangkan selepas makan malam, perbualan kami bertukar kepada pertanyaan mengenai pekerjaan, “Apakah pekerjaan anda?” Pada masa itu saya masih berkhidmat sebagai presiden bagi Institut Alkitab Moody di Chicago, Amerika Syarikat, dan saya menganggap bahawa tiada seorang pun yang tahu tentang Institut tersebut ataupun pengasasnya, D.L. Moody. Apabila saya menyebut nama sekolah itu, respons mereka amat cepat dan mengejutkan. “Moody dan Sankey … Moody itukah? “Kami ada lagu pujian gubahan Sankey dan keluarga kami sering berkumpul di sekeliling piano untuk menyanyikan lagu itu,” kata seorang lagi. Saya amat kagum! Penginjil Dwight Moody dan pemuziknya Ira Sankey telah mengadakan beberapa acara penginjilan di Kepulauan Britain lebih daripada 120 tahun yang lalu, namun pengaruh mereka masih nyata.
Pada malam itu, saya beredar dari bilik itu sambil berfikir mengenai cara kehidupan kita yang dapat meninggalkan pengaruh sepanjang zaman tentang Tuhan—pengaruh seorang ibu yang berdoa untuk anak-anaknya, kata-kata galakan daripada rakan sekerja, sokongan dan cabaran daripada seorang guru atau pembimbing, kata-kata pembetulan dalam kasih oleh seorang kawan. Memanglah satu penghormatan yang tinggi bagi kita untuk memainkan peranan dalam janji yang mengagumkan bahawa “Dia tetap mengasihi umat-Nya dan setia kepada mereka selama-lamanya” (Mazmur 100:5).