Kita patut berasa iri dengan pokok ini. Dengan bertumbuh di atas tanah yang berhadapan sungai, ia tidak perlu risau tentang perubahan cuaca, suhu panas, ataupun hari depan yang tidak menentu. Pokok ini disuburkan dan disejukkan oleh sungai sepanjang hari, ia mengangkat dahannya menuju matahari, mencengkam bumi dengan akarnya, membersihkan udara dengan daun-daunnya, dan memberikan tempat berteduh bagi sesiapa sahaja yang mahu berlindung daripada cahaya matahari yang terik.
Berbanding dengan belukar yang dirujuk oleh nabi Yeremia (Yeremia 17:6), apabila hujan tidak turun dan musim panas menyebabkan tanah bertukar menjadi debu, belukar menjadi kering dan kerepot, lalu tidak memberikan tempat berteduh mahupun menghasilkan buah kepada sesiapa sahaja.
Mengapakah nabi Yeremia membandingkan pohon-pohon yang rimbun dengan belukar yang sedang layu? Dia mahu supaya orang Israel mengingat semula apa yang terjadi sejak Tuhan menyelamatkan mereka daripada perhambaan di Mesir. Selama empat puluh tahun di padang gurun, mereka hidup seperti pokok yang ditanam di tepi sungai (2:4–6). Ketika mereka menikmati kemakmuran tanah yang dijanjikan, mereka melupakan kisah sendiri; mereka bergantung kepada diri sendiri dan dewa-dewa ciptaan sendiri (2:7–8), bahkan mahu kembali ke Mesir untuk mencari pertolongan (42:14).
Maka Tuhan memakai Yeremia menggesa anak-anak Israel yang pelupa dengan kasih, dan Dia menggesa kita berharap serta percaya kepada-Nya, dan menjadi seperti pohon yang subur itu—bukannya belukar.