Meskipun telah beberapa tahun kehilangan Melissa, anak perempuan kami, dalam satu kemalangan kereta pada tahun 2002, kadangkala saya seolah-olah memikirkan persoalan “Sekiranya.” Dalam kepiluan, saya mudah mengenang kembali tragedi yang berlaku pada suatu petang bulan Jun itu dan berfikir tentang faktor kemalangan—jikalau diatur semula—pasti Melissa pulang ke rumah dengan selamat.
Bagaimanapun, dalam realiti, persoalan “Sekiranya” tidak membawa manfaat kepada sesiapa pun. Ia hanya mendatangkan penyesalan, kritikan, dan keputusasaan. Meskipun kepiluan itu nyata dan kesedihan berterusan, kehidupan akan menjadi lebih baik dan nama Tuhan dimuliakan apabila kita menanyakan persoalan “Bagaimanakah sekarang?”
Dalam realiti, kita boleh menemukan harapan, dorongan dan penghiburan. Kita mempunyai harapan yang pasti (1 Tesalonika 4:13)—keyakinan—oleh sebab Melissa mengasihi Yesus, dia kini berada di tempat yang “memang jauh lebih baik” (Filipi 1:23, Alkitab TB). Kita mempunyai Tuhan yang sering menolong kita (2 Korintus 1:3). Kita mempunyai Tuhan yang “selalu bersedia menolong kita pada masa kesusahan” (Mazmur 46:2), dan kita selalu menerima dorongan daripada orang percaya yang lain.
Kesemua kita berharap agar dapat mengelakkan tragedi dalam kehidupan. Tetapi apabila kita menghadapi kesusahan, pertolongan terbesar kita datang apabila kita mempercayai Tuhan, iaitu harapan kita yang pasti.
Harapan terbesar datang daripada kepercayaan kita kepada Tuhan.