Salah satu rancangan televisyen kegemaran saya adalah The Amazing Race. Dalam rancangan realiti ini, sepuluh pasangan dihantar ke negara asing dan mereka harus berlumba dengan menggunakan kereta api, bas, teksi, basikal, dan berjalan kaki, bertolak dari satu tempat ke tempat yang lain bagi mendapatkan arahan untuk cabaran yang seterusnya. Tujuannya adalah supaya pasangan itu boleh sampai ke tempat yang sudah ditentukan mendahului orang lain, dan hadiahnya adalah satu juta dolar Amerika Syarikat.

Rasul Paulus menggambarkan kehidupan Kristian sebagai perlumbaan dan mengakui bahawa dia belum sampai ke garisan penamat. “Saudara-saudaraku,” katanya, “sebenarnya aku tidak menganggap bahawa aku sudah memenangi hadiah itu. Tetapi satu perkara aku lakukan. Aku melupakan apa yang di belakang dan berusaha dengan gigih untuk mencapai apa yang di hadapan. Itulah sebabnya aku berlari terus ke arah tujuanku untuk memenangi hadiah itu” (Filipi 3:13–14). Paulus tidak memandang ke belakang dan tidak mengizinkan kegagalan pada masa lalu membebaninya dengan rasa bersalah, dia juga tidak menjadi angkuh kerana kejayaannya ketika itu. Dia terus berlari ke arah tujuan untuk semakin menyerupai Yesus.

Kita juga sedang menyertai perlumbaan ini. Walaupun kita pernah mengalami kegagalan dan kejayaan pada masa lalu, kita harus terus berlari ke hadapan untuk mencapai tujuan yang paling utama—menjadi seperti Yesus. Kita bukannya berlumba untuk memperoleh hadiah duniawi, tetapi untuk memperoleh ganjaran utama, iaitu kekal hidup bersama-sama-Nya.