Kaleb adalah seorang yang “sepenuh hati”. Dia dan Yosua menjadi pengintip bersama 10 orang yang lain. Mereka menjelajah Tanah Perjanjian dan memberikan laporan kepada Musa dan orang Israel. Kaleb berkata, “Kita harus melancarkan serangan dan merebut tanah itu sekarang juga. Kita cukup kuat untuk menaklukkannya” (Bilangan 13:30). Tetapi 10 ahli kumpulan itu berkata bahawa mereka tidak mungkin berjaya. Walaupun Tuhan sudah menjanjikan kemenangan mereka, mereka hanya melihat halangan (ayat 31–33).
Sepuluh orang itu menyebabkan orang lain berputus asa dan bersungut kepada Tuhan, dan hal ini telah menyebabkan pengembaraan di padang gurun selama empat puluh tahun. Namun Kaleb tidak menarik diri. Tuhan berkata, “Tetapi sikap Kaleb, hamba-Ku itu lain; dia tetap setia kepada-Ku. Oleh itu Aku akan membawa dia ke tanah yang dijelajahinya. Keturunannya akan memiliki tanah yang kawasan lembahnya diduduki oleh orang Amalek dan orang Kanaan pada masa kini” (14:24-25). 45 tahun kemudian, Tuhan menunaikan janjinya ketika Kaleb menerima kota Hebron pada umur 85 tahun, “kerana dia taat dan setia kepada TUHAN, Allah umat Israel” (Yosua 14:14).
Berabad-abad tahun selepas itu, seorang pakar hukum Taurat bertanya kepada Yesus, “ ‘Guru, perintah manakah yang paling utama dalam Taurat?’ Yesus menjawab, ‘Kasihilah Tuhan Allahmu dengan sepenuh hatimu, dengan segenap jiwamu dan dengan seluruh akalmu. Inilah perintah yang terutama dan yang terpenting’ ” (Matius 22:35–38).
Pada hari ini, Kaleb masih memberi inspirasi kepada kita kerana keyakinannya pada Tuhan yang layak menerima kasih, kebergantungan dan komitmen kita yang sepenuhnya.