Beberapa tahun yang lalu, seorang kawan menjemput saya menonton satu pertandingan kejohanan golf profesional bersama dia. Sebagai orang yang pertama kali menghadiri acara sebegitu, saya langsung tidak tahu apa yang harus diharapkan. Apabila kami sampai di situ, saya terkejut kerana dapat menerima hadiah, maklumat dan peta padang golf itu. Tetapi yang paling menarik adalah semasa kami dapat masuk ke dalam khemah VIP (orang kenamaan). Di situ kami mendapat makanan percuma dan tempat duduk. Sebenarnya, saya secara sendirian tidak mungkin dapat masuk ke dalam khemah yang menyediakan layanan baik seperti itu. Kuncinya adalah kawan saya; melalui dia barulah saya mendapat kebenaran masuk sepenuhnya.
Jika kita berharap kepada diri sendiri, kita pasti terpisah daripada Tuhan tanpa sebarang harapan. Tetapi Yesus, yang telah mengambil hukuman bagi pihak kita, menyerahkan nyawa-Nya supaya kita dapat datang kepada Tuhan. Rasul Paulus menulis, “supaya sekarang melalui jemaah, semua yang memerintah dan yang berkuasa di angkasa dapat mengetahui pelbagai ragam kebijaksanaan Allah” (Efesus 3:10). Hikmat ini telah menyatukan orang Yahudi dan orang bukan Yahudi dalam Kristus, yang telah membuka jalan bagi kita supaya kita dapat datang kepada Tuhan Bapa. “Kerana kita percaya kepada Kristus dan hidup bersatu dengan Dia, kita berani datang ke hadirat Allah dengan penuh keyakinan” (ayat 12).
Apabila kita meletakkan kepercayaan kepada Yesus, kita mendapat jalan masuk yang terbesar—jalan masuk kepada Tuhan yang mengasihi kita dan ingin membina hubungan dengan kita.
Oleh sebab salib Kristus, kita boleh menjadi sahabat Tuhan.