Ahli falsafah Yunani yang bernama Plato (427–348 sm) menemui suatu kaedah imaginatif untuk menjelaskan bahagian jahat dalam hati manusia. Dia menceritakan kisah seorang gembala yang secara tidak sengaja menemukan sebentuk cincin emas yang telah ditanam dalam tanah. Pada suatu hari, satu gempa bumi telah mendedahkan sebuah kubur purbakala di lereng bukit, dan menampakkan cincin itu kepada gembala tersebut. Secara tidak sengaja, dia juga mendapati bahawa cincin itu mempunyai kebolehan magik untuk menjadikan si pemakai cincin itu tidak dapat dilihat oleh orang lain menurut keinginan hatinya. Sementara berfikir tentang kebolehan yang tidak dapat dilihat oleh orang, Plato mengajukan soalan ini: Jika orang tidak risau ditangkap dan dijatuhi hukuman, adakah mereka akan menahan diri daripada melakukan kesalahan?
Dalam Injil Yohanes, kita mendapati Yesus memperkatakan hal ini dari sudut pandangan yang berbeza. Yesus yang dikenali sebagai Gembala yang baik, bercakap tentang hati manusia yang lebih suka berada dalam kegelapan untuk menyembunyikan apa yang dilakukan mereka (Yohanes 3:19–20). Dia tidak bermaksud untuk menghukum kita kerana sikap yang selalu menyembunyikan hal sebenar. Sebaliknya, Dia menawarkan penyelamatan kepada kita melalui-Nya (ayat 17). Sebagai Gembala kepada hati kita, Dia mendedahkan sifat kemanusiaan kita yang paling buruk di bawah cahaya untuk menunjukkan Tuhan sangat mengasihi kita (ayat 16).
Tuhan yang berbelas kasihan memanggil kita keluar daripada kegelapan dan menjemput kita mengikuti-Nya untuk masuk ke dalam cahaya.