Seperti kami, seorang kawan lama saya juga kehilangan anak remajanya dalam kemalangan kereta. Dia telah menulis sebuah petikan untuk mengenang anak perempuannya, Lindsay, dalam surat khabar tempatan. Salah satu tanggapan yang paling hebat dalam eseinya ialah: Selepas bercerita bahawa gambar-gambar dan benda-benda yang penuh kenangan tentang Lindsay telah diletakkan di sekitar rumah mereka, dia menulis, “Lindsay ada di mana-mana, tetapi juga tiada di mana-mana.”
Walaupun senyuman anak-anak perempuan kami masih kelihatan dalam foto, namun keperibadian mereka yang berseri semangat dan senyuman itu tidak dapat ditemui. Mereka berada di mana-mana—dalam hati, fikiran kami, dan semua gambar—tetapi kami tidak dapat melihat mereka lagi dalam kehidupan.
Namun Alkitab memberitahu kita, dalam Kristus, Lindsay dan anak saya, Melissa, bukannya lenyap. Mereka ada di hadirat Yesus, “tinggal bersama Tuhan” (2 Korintus 5:8). Mereka bersama dengan Tuhan yang “tidak boleh dilihat, tetapi hadir di mana sahaja.” Lagipun, kita tidak dapat melihat Tuhan dalam bentuk fizikal. Kita tentu sekali tidak mempunyai gambar Yesus yang tersenyum dan tergantung di rumah kita. Sebenarnya, jika anda melihat di sekeliling rumah anda, anda mungkin berfikir Dia tidak hadir pun. Tetapi kita adalah salah. Tuhan tetap hadir di mana-mana!
Di mana sahaja kita pergi di bumi ini, Tuhan ada di sana. Dia hadir untuk membimbing, memperkuat dan menghiburkan kita. Kita tidak boleh pergi ke tempat yang tiada Tuhan. Walaupun kita tidak melihat Dia, Dia Tuhan Yang Maha Hadir. Dalam setiap percubaan yang kita hadapi, inilah berita yang sangat baik.