Para peminat sukan gemar menyanyikan lagu tema untuk pasukan mereka. Dengan memakai logo pasukan, membuat kiriman-kiriman di Facebook atau bercakap dengan kawan-kawan tentang pasukan kegemaran mereka, sudah tentunya para peminat itu amat setia terhadap pasukan sukan mereka masing-masing. Topi, baju dan perbualan tentang pasukan besbol Detroit yang saya sanjungi menunjukkan saya juga meminati pasukan itu bersama dengan para peminat lain.
Kesetiaan kita terhadap sukan mengingatkan kita bahawa kesetiaan sebenar dan yang terbesar seharusnya diberikan kepada Tuhan. Saya teringat akan kesetiaan secara terang-terang ini apabila saya membaca Mazmur 34, bahawa Daud menarik perhatian kita kepada Seorang yang jauh lebih penting daripada segala-galanya di bumi ini.
Kata Daud, “Aku akan memuji TUHAN setiap waktu” (ayat 1), membuatkan kita tertanya-tanya tentang kekosongan dalam kehidupan kita ketika kita hidup seolah-olah Tuhan bukan sumber kebenaran, cahaya dan penyelamatan kita. Katanya lagi, “puji-pujian untuk-Nya akan sentiasa di bibirku” (ayat 1), membuatkan kita merenungkan kerap kalinya kita lebih suka memuji hal-hal di dunia ini dan bukannya memuji Tuhan. Kata Daud lagi, “Jiwaku akan mengisytiharkan kebesaran TUHAN” (ayat 2), menyedarkan kita bahawa kita lebih sering bermegah tentang kejayaan kita yang kecil dan bukannya menyanjung tinggi apa yang telah dilakukan oleh Yesus untuk kita.
Tidak salah jika kita menikmati pasukan sukan kita, minat dan kejayaan kita. Tetapi pujian tertinggi kita seharusnya bagi Tuhan kita. “Pujilah kebesaran TUHAN bersamaku; marilah kita memuliakan nama-Nya bersama-sama” (ayat 3).