Apabila pendudukan musuh di negara Belanda semakin meluas, Anne Frank dan keluarganya dengan berani bersedia lalu berpindah ke sebuah tempat persembunyian yang rahsia untuk melarikan diri daripada bahaya. Mereka bersembunyi selama dua tahun semasa Perang Dunia II, sebelum ditemui dan dihantar ke kem tahanan. Namun dalam buku terkenal Anne, Diary of a Young Girl, dia menulis: “Dalam jangka masa yang lama itu, senjata paling tajam daripada segala senjata lain adalah roh yang baik dan lemah lembut”.
Lemah lembut boleh menjadi isu rumit apabila kita menjalani kehidupan yang sebenar.
Dalam Yesaya 40, kita dapat melihat Tuhan adalah lemah lembut dan berkuasa. Kita dapat membaca kenyataan ini dalam ayat 11: “Dia akan menjaga umat-Nya seperti seorang gembala; Dia akan mengumpulkan dan mendukung anak-anak domba, dan dengan lemah lembut, memimpin induk-induk domba.” Tetapi ayat itu ialah susulan bagi ayat ini: “TUHAN Raja datang untuk memerintah dengan kekuasaan” (ayat 10). Dia penuh kuasa, tetapi melindungi mereka yang mudah terdedah daripada bahaya dengan lemah lembut.
Fikirkan tentang Yesus, yang mengambil cambuk dan menunggangbalikkan meja-meja penukar wang di rumah Tuhan dengan berani, tetapi juga dengan lemah lembut menjaga kanak-kanak. Dia menggunakan kata-kata yang berkuasa untuk mengecam orang Farisi (Matius 23), tetapi mengampuni seorang perempuan yang memerlukan belas kasihan-Nya yang lemah lembut (Yohanes 8:1-11).
Mungkin ada kalanya kita harus berdiri teguh untuk mempertahankan orang yang lemah dan mencabar orang lain mengejar keadilan, namun kita juga hendaklah “biar sikap [kita] yang lemah lembut diketahui oleh semua orang (Filipi 4:5, AVB). Tatkala kita melayani Tuhan, kadang-kadang kekuatan terbesar kita adalah mempamerkan hati yang lemah lembut kepada mereka yang memerlukan pertolongan.