Dalam satu program TV, orang dewasa muda beraksi sebagai pelajar sekolah menengah untuk lebih memahami kehidupan remaja. Mereka mendapati bahawa media sosial memainkan peranan yang penting dalam cara remaja menilai diri mereka. Seorang peserta berkata, “Nilai diri [pelajar-pelajar itu] berkait rapat dengan media sosial—bergantung kepada jumlah “Suka” yang mereka dapat melalui kiriman gambar mereka.” Keperluan untuk mendapat penerimaan orang lain boleh menyebabkan orang muda berkelakuan ekstrem dalam talian.
Keinginan untuk mendapat penerimaan orang lain sentiasa wujud. Dalam Kejadian 29, kita boleh memahami bahawa Lea menginginkan kasih suaminya, Yakub. Ini digambarkan dalam nama ketiga-tiga anak lelaki pertamanya—kesemuanya menggambarkan kesunyiannya (ayat 31-34). Tetapi, sedih sekali, Yakub tidak pernah memberikan penerimaan sebagaimana yang diingini Lea.
Pada waktu dia melahirkan anaknya yang keempat, Lea kembali kepada Tuhan dan bukan kepada suaminya, dia menamakan anaknya yang keempat sebagai Yehuda, yang bermaksud “memuji” (ayat 35). Pada akhirnya Lea memilih untuk mencari nilai dirinya dalam Tuhan. Dia menjadi sebahagian daripada kisah penyelamatan Tuhan: Yehuda merupakan nenek moyang Raja Daud dan kemudian, Yesus.
Kita boleh berusaha untuk mencari nilai kita dengan banyak cara dan perkara, tetapi hanya dalam Yesus kita mendapat identiti kita sebagai anak-anak Tuhan, ahli waris bersama Yesus, dan orang yang akan tinggal bersama Bapa yang di syurga untuk selama-lamanya. Seperti yang ditulis oleh Paulus, tiada apa-apa di dunia ini yang boleh dibandingkan dengan “apa yang jauh lebih menguntungkan, iaitu mengenal Kristus Yesus sebagai Tuhanku” (Filipi 3:8).