Projek Pengalaman, iaitu salah satu rancangan komuniti yang terbesar dalam talian pada abad ke-21, dahulunya ia pernah menjadi laman web yang berjuta-juta orang berkongsi pengalaman mereka yang sangat menyakitkan secara terbuka. Ketika saya membaca kisah mereka yang menghancurkan hati itu, saya menyedari bahawa hati kita sangat merindukan seseorang untuk melihat—untuk memahami—kesakitan kita.
Dalam kitab Kejadian, kisah mengenai seorang pembantu rumah menunjukkan kepada kita betapa baiknya jika seseorang dapat memahami kesakitan kita. Hagar mungkin merupakan seorang hamba gadis yang telah diberikan kepada Abram oleh firaun Mesir (lihat Kejadian 12:16; 16:1). Apabila isteri Abram, Sarai tidak dapat mengandung, dia memujuk Abram untuk mendapatkan anak melalui Hagar—satu amalan yang tidak baik tetapi biasa pada zaman itu. Akan tetapi sewaktu Hagar menjadi hamil, tekanan tercetus, sehingga Hagar melarikan diri ke padang gurun untuk melepaskan diri daripada penindasan Sarai (16:1-6).
Namun masalah Hagar—yang mengandung serta bersendirian di padang gurun yang panas dan dalam keadaan yang menderita—tidak terlepas daripada pandangan Tuhan. Selepas malaikat Tuhan datang dan menguatkan Hagar (ayat 7-12), dia berkata, Engkaulah “Allah Yang Melihat” (ayat 13). Hagar memuji Dia yang melihat lebih daripada fakta luaran. Tuhan yang sama telah dinyatakan dalam Yesus yang “melihat orang ramai itu, Dia mengasihani mereka kerana mereka risau dan tidak berdaya, seperti kawanan domba tanpa gembala” (Matius 9:36). Hagar telah bertemu dengan Tuhan yang memahami dia.
Tuhan yang melihat dan memahami kesakitan Hagar, juga melihat kesakitan kita (Ibrani 4:15-16). Empati dari syurga dapat mengubah apa yang sukar menjadi mudah.