Sebagai kanak-kanak yang membesar di Ghana, Afrika Barat, saya suka memegang tangan bapa saya dan berjalan dengannya di tempat yang sesak. Dia merupakan bapa dan sahabat saya, kerana berganding tangan dalam budaya kami merupakan tanda persahabatan yang benar. Apabila berjalan bersama, kami akan berbual-bual tentang pelbagai subjek. Bila-bila sahaja saya berasa kesunyian, saya akan mendapat penghiburan melalui bapa saya. Persahabatan kami sungguh berharga!

Tuhan Yesus memanggil pengikut-pengikut-Nya sebagai sahabat, dan Dia menunjukkan kepada mereka tanda-tanda persahabatan-Nya. “Aku mengasihi kamu seperti Bapa mengasihi Aku” (Yohanes 15:9), sehingga sanggup menyerahkan nyawa-Nya bagi mereka (ayat 13). Dia menunjukkan kepada mereka hal-hal tentang pemerintahan-Nya (ayat 15). Dia mengajar mereka segala yang telah diberikan kepada-Nya (ayat 15). Dia juga memberikan mereka peluang untuk bekerja dalam misi-Nya (ayat 16).

Sebagai Sahabat dalam kehidupan kita, Yesus berjalan bersama dengan kita. Dia mendengar keluhan hati dan keinginan kita. Apabila kita berasa sunyi dan kecewa, Sahabat kita, Yesus menemani kita.

Persahabatan kita dengan Yesus menjadi akrab apabila kita saling mengasihi dan mentaati perintah-Nya (ayat 10, 17). Apabila kita mentaati perintah-Nya, kita akan menghasilkan “buah yang akan tahan” (ayat 16).

Ketika berjalan di lorong-lorong yang sesak dan jalanan yang berbahaya di dunia yang kacau-bilau, kita boleh berharap kepada Tuhan sebagai sahabat kita. Itulah tanda persahabatan-Nya.