Cucu lelaki saya yang paling muda hanya berumur dua bulan, namun setiap kali saya melihat dia, saya memerhatikan perubahan kecil dalam dirinya. Baru-baru ini apabila saya berbisik-bisik lembut dengan dia, dia memandang saya dan tersenyum! Tiba-tiba saya menangis. Mungkin ini disebabkan oleh perasaan sukacita yang terbaur dengan ingatan sewaktu saya melihat senyuman pertama anak-anak saya, yang sudah berlalu terlalu lama, namun rasanya gambaran seperti ini baru berlaku kelmarin. Ada saatnya hal-hal yang tidak dapat dijelaskan seperti itu berlaku.
Dalam Mazmur 103, Daud menulis lagu berbentuk puisi yang memuji Tuhan sementara merenungkan betapa cepatnya musim sukacita hidup kita berlalu: “Manusia bagaikan rumput, yang tumbuh dan mengembang seperti bunga di padang. Apabila ditiup angin, bunga pun hilang, tiada orang melihatnya lagi” (ayat 15-16).
Akan tetapi, walaupun Daud mengakui bahawa hidup adalah singkat, dia menghuraikan bunga yang berkembang atau bertumbuh subur. Walaupun setiap bunga berkembang dalam masa yang singkat, keharuman dan warna serta keindahannya memberikan sukacita yang besar pada saat itu. Walaupun setiap kuntum bunga boleh sahaja dilupakan dengan segera—“tiada orang melihatnya lagi” (ayat 16)—sebaliknya kita mempunyai keyakinan bahawa “TUHAN tetap mengasihi orang yang menghormati Dia, dan kebaikan-Nya berlangsung selama-lamanya” (ayat 17).
Kita seumpama bunga, dapat bersukacita dan bermekar pada suatu saat, tetapi kita juga boleh meraikan kebenaran bahawa detik-detik kehidupan kita benar-benar tidak pernah dilupakan. Tuhan memegang setiap detik kehidupan kita, dan kasih-Nya yang kekal menyertai anak-anak-Nya selamanya.
ILHAM
Daud memuji belas kasihan Tuhan dalam Mazmur 103. Dia menulis bahawa Tuhan berbelas kasihan terhadap mereka yang takut kepada Dia, setelah menggambarkan kasih Tuhan seperti kasih seorang bapa. Daud tidak mengatakan bahawa Tuhan berbelas kasihan terhadap mereka yang takut kepada Dia, seolah-olah Tuhan memerhati untuk memastikan semua orang "mematuhi perintah." Sebaliknya, "ketakutan" dalam pengertian ini adalah pemahaman dan sikap yang betul terhadap seseorang yang layak dihormati. Tuhan menunjukkan kasih-Nya bagi mereka yang takut kepada Dia dan mereka yang memahami dan menyembah-Nya dengan hormat.Kita mungkin cenderung untuk berfikir bahawa ketakutan kita yang mengumpulkan belas kasihan Tuhan. Bagaimanapun dalam ungkapan puisi, Daud memberitahu kita bahawa belas kasihan berasal daripada Tuhan. Kita mendapat belas kasihan Tuhan bukan kerana kita mengenal siapa Tuhan, melainkan Tuhan mengenal siapa kita—debu. Tuhan berbelas kasihan terhadap kita kerana kita bukan apa-apa, melainkan debu.