Saya tidak sabar untuk kembali ke Hospital St. James di Montego Bay, Jamaica dan menghubungi Rendell semula, yang telah mengetahui kasih Yesus baginya dua tahun yang lalu. Evie, seorang remaja yang mengikuti lawatan persembahan koir sekolah tinggi, yang saya pergi bersama setiap musim bunga telah berkongsi firman Tuhan dan menerangkan injil kepada Rendell sehingga dia sendiri menerima Yesus sebagai Penyelamatnya.
Apabila saya memasuki wad lelaki dan melihat katil Rendell, saya mendapati katil itu kosong. Kemudian saya pergi ke stesen jururawat, dan saya dimaklumkan tentang sesuatu yang saya tidak ingin dengarkan. Rendell sudah meninggal dunia—lima hari sebelum ketibaan kami.
Sambil menangis, saya menghantar pesanan ringkas kepada Evie tentang berita yang sedih itu. Responsnya cukup ringkas: “Rendell sedang bersukacita dengan Yesus.” Kemudian dia berkata, “Berita ini adalah sesuatu yang baik kerana kita telah memberitahunya tentang Yesus sebelum dia meninggal.”
Kata-katanya mengingatkan saya tentang kepentingan untuk sentiasa bersedia untuk berkongsi kepada orang lain tentang harapan yang kita miliki dalam Kristus. Memang tidak selalunya mudah untuk mengkhabarkan Berita Baik tentang Dia yang akan sentiasa menyertai kita (Matius 28:20). Akan tetapi apabila memikirkan perubahan yang dapat dibawa melaluinya bagi diri kita dan orang lain seperti Rendell, kita akan mendapat keberanian untuk sentiasa bersedia menjadikan orang lain pengikut Kristus, ke mana sahaja kita pergi (ayat 19).
Saya tidak akan melupakan kesedihan pada saat melihat katil itu kosong—dan sukacita apabila mengetahui perbezaan yang dilakukan oleh seorang remaja dalam hidup kekal Rendell.
ILHAM
Matius 28:19-20 (sering disebut "Amanat Agung") telah distrukturkan sebagai satu panggilan ramalan daripada Perjanjian Lama: mula-mulanya ada pertemuan dengan Tuhan dan diikuti dengan keraguan (ayat 17); kemudian keraguan diatasi melalui keyakinan dan kekuatan yang diberikan Tuhan (ayat 18-20; Yesaya 6:1-8).Dengan mengikut struktur ini, Matius menekankan bahawa orang percaya dalam Kristus telah dipanggil untuk menjadi saksi tentang sukacita kehidupan dalam pemerintahan Kristus. Walaupun Yesus telah menewaskan kejahatan dan memerintah dengan "segala kuasa" (Matius 28:18), Dia tidak menghapuskan semua kejahatan dengan serta-merta. Sebaliknya, Yesus dengan lembut menarik orang lain "baik dengan perlahan atau cepat, di bawah kuasa kasih-Nya yang memberi hidup” (N.T. Wright)—sehingga satu hari kelak ketika kuasa kematian dihapuskan sepenuhnya dan orang di dunia ini mengikut Dia. Kemenangan Kristus dinyatakan sekarang melalui ketaatan mereka yang ingin mempelajari satu cara hidup yang baru, melalui kuasa hadirat-Nya yang penuh kasih (ayat 20).