Ketika penduduk kampung Perancis menolong pelarian Yahudi menyembunyikan diri daripada pihak Nazi semasa Perang Dunia II, beberapa orang menyanyikan lagu-lagu di hutan tebal di sekitar bandar mereka—supaya para pelarian tahu mereka adalah selamat untuk keluar daripada persembunyian. Penduduk-penduduk di kampung Le Chambon-sur-Lignon yang berani ini telah menjawab cabaran daripada pastor gereja tempatan mereka, André Trocmé dan isterinya, Magda, untuk menawarkan perlindungan kepada orang Yahudi di dataran tinggi yang dikenali sebagai “La Montagne Protestante.” Isyarat muzik mereka yang menjadi salah satu ciri keberanian penduduk ini telah membantu menyelamatkan seramai 3,000 orang Yahudi daripada situasi yang hampir membawa maut.
Dalam situasi berbahaya yang lain, Daud menyanyikan lagu pujian ketika musuhnya Saul menghantar pembunuh pada waktu malam ke rumahnya. Penggunaan muziknya bukan suatu isyarat; sebaliknya, lagu itu merupakan nyanyian kesyukuran kepada Tuhan kerana perlindungan-Nya. Daud bersukacita, “Tetapi aku akan menyanyi tentang kekuatan-Mu; setiap pagi aku akan bernyanyi dengan nyaring tentang kasih-Mu. Engkau telah menjadi pernaungan bagiku, perlindungan pada masa kesusahanku” (Mazmur 59:17).
Nyanyian sedemikian bukan “bersiul dalam kegelapan” untuk mencari kelegaan semasa menghadapi bahaya. Sebaliknya, nyanyian Daud adalah untuk menyampaikan kepercayaannya kepada Tuhan Yang Maha Kuasa. “Engkau, pembelaku. Allah ialah pernaunganku, Allah yang mengasihi aku” (ayat 18).
Pujian Daud dan nyanyian penduduk kampung di Le Chambon, menjemput kita memuliakan Tuhan pada hari ini dengan nyanyian kita, mencipta melodi kepada-Nya walaupun ada kebimbangan dalam hidup. Hadirat-Nya yang penuh kasih memperkuat hati kita.