Saya menemukan sehelai sampul surat ketika dalam perjalanan pulang dari lawatan bersama keluarga di negeri lain. Pada masa itu, saya sedang mengisi minyak dan ternampak sampul surat yang comot, besar dan tebal itu. Saya mengambilnya lalu melihat di dalamnya. Saya tidak menyangka bahawa sampul tersebut mengandungi RM100.
Pemilik RM100 ini mungkin berasa bimbang serta sedang mencari wang itu. Saya memberikan nombor telefon kami kepada pekerja di stesen minyak itu kalau-kalau ada seseorang yang datang kembali untuk mencari sampul tersebut. Tetapi tiada seorang pun pernah menelefon kami.
Seseorang pernah memiliki wang itu dan telah kehilangannya. Harta duniawi boleh sahaja hilang, dicuri, atau diboroskan. Kerugian besar boleh berlaku dalam pelaburan yang buruk atau dalam pasaran kewangan yang kita sendiri tidak dapat kawal. Tetapi harta syurgawi yang kita miliki dalam Yesus—hubungan dengan Tuhan yang didamaikan dan janji akan kehidupan kekal—bukan sedemikian. Kita tidak akan kehilangannya di stesen minyak atau di mana-mana.
Oleh sebab itulah Kristus memberitahu kita untuk mengumpulkan “harta di syurga” (Matius 6:20). Kita mengumpulkannya ketika kita “rajin berbuat kebajikan” (1 Timotius 6:18) atau “kaya dalam iman” (Yakobus 2:5)—membantu orang lain dengan senang hati dan berkongsi tentang Yesus kepada mereka. Ketika Tuhan memimpin dan memberi kita kuasa, semoga kita mengumpulkan harta yang kekal serta mengharapkan kehidupan kekal dengan Dia pada masa akan datang.