Di Amerika Syarikat, negara yang saya tinggal, musim sejuk boleh sahaja menyeksakan, dengan suhu bawah sifar dan salji yang tidak henti-henti. Pada suatu hari, tahap kesejukannya menusuk ke tulang. Apabila saya sedang menyodok salji entah untuk berapa kalinya, posmen kami singgah untuk bertanyakan khabar. Saya memberitahunya bahawa saya tidak suka musim sejuk dan sudah penat berhadapan dengan salji tebal. Saya kemudian memberikan komen bahawa kerjanya pasti sukar pada cuaca yang buruk ini. Dia memberi respons, “Ya, tetapi sekurang-kurangnya saya mempunyai pekerjaan. Ramai orang tiada pekerjaan. Saya bersyukur kerana saya dapat bekerja.”
Saya berasa malu akan sikap saya yang kurang bersyukur tadi. Betapa mudahnya kita mengabaikan semua yang seharusnya kita bersyukur ketika situasi hidup tidak menyenangkan.
Paulus memberitahu para pengikut Kristus di Kolose, “Hendaklah kedamaian yang diberikan oleh Kristus menolong kamu membuat keputusan tentang apa yang harus dilakukan, kerana Allah telah memanggil kamu supaya menjadi anggota satu tubuh, sehingga kamu dapat mengalami kedamaian itu. Bersyukurlah!” (Kolose 3:15). Dia menulis kepada jemaah di Tesalonika, “Hendaklah kamu bersyukur dalam segala keadaan, kerana hal inilah yang dikehendaki oleh Allah daripada kamu sebagai orang yang hidup bersatu dengan Kristus Yesus” (1 Tesalonika 5:18).
Meskipun kita berhadapan dengan pergelutan dan keperitan hidup yang nyata, kita tahu bahawa kedamaian Tuhan selalu menyertai kita. Dalam kedamaian itu, kita juga akan mengingati semua yang telah diberikan melalui Kristus. Dalam kedamaian, kita benar-benar dapat bersyukur.